Minggu 5


Ceritera 21: Hantu Novel

Tarikh: 1 April 2013
Hari: Isnin
Masa: 9.00 malam
Lokasi: Kolej Za’ba

                Assalamualaikum sahabat sekalian. novel merupakan salah satu bahan bacaan yang sentiasa mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat terutama pembaca wanita dan pelajar sekolah serta universiti. Jika terdapat sesuatu karnival pasti gerai jualan novel tidak akan ketinggalan untuk dikunjungi.

                Kenapa golongan-golongan masyarakat ini amat meminati novel? Pada pandangan saya, penggunaan bahasa yang amat puitis dalam novel banyak mempengaruhi pembacanya. Susunan cerita dan ayatnya dapat menarik minat dan sentiasa bermain dengan perasaan pembaca. Penulisan novel sebenarnya tidak memerlukan penggunaan bahasa yang standard untuk menyampaikan jalan cerita.

                Hal ini demikian kerana, kebanyakan penulis novel pandai bermain dengan bahasa untuk menyentuh perasaan pembaca. Jika dilihat dari luaran pun kita dapat lihat tajuk yang digunakan boleh menarik minat pembaca untuk membeli novel tersebut.






 Bicara hatiku: Saya juga salah seorang penggemar novel sebenarnya. Novel jika dipandang dari sudut positif sebenarnya banyak memberi manfaat kepada pembaca untuk memberi idea bagi melakukan sesuatu penulisan.




  
Ceritera 22: Islamisasi Bahasa Melayu

Tarikh: 2 April 2013
Hari: Selasa
Masa: 12.00 tengah hari
Lokasi: Kolej Za’ba

                Assalamualaikum. Hari ini saya ingin memperkatakan mengenai suatu perkara yang berkaitan dengan islamisasi bahasa Melayu.  Pada dua tiga tahun kebelakangan kita pernah mendengar mengenai isu PPSMI. Ada yang membantah dan ada juga yang mempertahankan keperluan dasar PPSMI. Dan isu ini juga turut dikatakan berkaitan isu politik.      

                Biasa kita dengar alasan kenapa PPSMI tidak releven kerana bahasa Melayu akan terhakis, bahasa Melayu akan dipinggirkan, kesukaran untuk menukar semua buku teks sekolah dan banyak lagi alasan-alasan yang boleh diterima pakai. Di sini saya ingin mengutarakan satu lagi alasan kenapa PPSMI adalah tidak releven untuk diaplikasikan hasil dari bacaan saya iaitu berkaitan islamisasi bahasa Melayu.

Islamisasi bahasa Melayu bermaksud bahasa Melayu yang diguna pakai pada hari ini sebenarnya banyak menerima pengaruh agama Islam berdasarkan sejarah. Alasan ini sebenarnya sudah cukup utuh mengapa bahasa Melayu perlu dipertahankan.   Penggunaan istilah agama yang sudah lama berakar dalam bahasa Melayu tidak mungkin dapat digantikan dengan bahasa Inggeris.

Contoh:

1.       Istilah ‘TAQWA’ (Kemuliaan di sisi ALLAH S.W.T)  tidak boleh digantikan dengan ‘PIOUS’ (istilah umum dan digunakan dalam agama lain juga)  
2.       Istilah ‘AKHLAK’ tidak boleh digantikan dengan ‘ETHIC’
3.       Istilah ‘IKHLAS’ tidak boleh disamakan dengan istilah ‘SINCERE’
4.       Istilah ‘ADIL’ tidak boleh disamakan dengan istilah JUSTICE’             
5.       Dan istilah ALLAH tidak boleh diterjemahkan sebagai ‘GOD’.   
         

Bicara Hatiku: saya tidak menolak bahasa Inggeris kerana kita memang digalakkan untuk mendalami lebih dari satu bahasa. Tetapi bagi saya kita tidak perlulah menukar bahasa dalam sistem pembelajaran di sekolah semata-mata hanya ingin menguasai bahasa kedua. Sedangkan bahasa pertama masih tidak kukuh, usahlah diagung-agungkan bahasa orang. Angkat dahulu bahasa kita setinggi langit supaya orang juga dapat mengangkat bahasa kita seperti orang lain mengangkat tinggi bahasa mereka.  Ambil contoh negara yang mampu menggunakan bahasa sendiri untuk maju dan tidak bergantung pada bahasa orang lain. Renung-renungkan.





Ceritera 23: Bahasa Slanga
Tarikh: 3 April 2013
Hari: Rabu
Masa: 8.30 malam
Lokasi: Kolej Za’ba

                Assalamualaikum dan selamat malam semua. Cerita ke-23 saya ialah mengenai bahasa slanga. Bahasa slanga bermaksud suatu kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru digubal dan sifatnya cepat berubah. Dengan kata lain bahasa slanga ialah bahasa golongan muda zaman sekarang yang hanya golongan mereka sahaja memahami maksud perkataan tersebut.

                Bahasa slanga kebiasaannya hanya difahami oleh golongan remaja sahaja dan kadangkala bahasa tersebut hanya difahami oleh kelompok-kelompok tertentu sahaja. Bahasa sebegini sudah lama menjadi ‘trend’ remaja zaman sekarang. Contoh bahasa slanga adalah seperti berikut:

Poyo
Melepak
Mat rempit
Cun



Bicara hatiku: Bagi saya tidak ada salahnya guna bahasa slanga selagi maksud perkataan yang disebut tiada unsur-unsur negatif. Tetapi golongan muda zaman sekarang lebih suka guna bahasa slanga dalam sudut yang negatif.






 Ceritera 24: Bagai Aur dengan Tebing

Tarikh: 4 April 2013
Hari: Khamis
Masa: 9.00 malam
Lokasi: Kolej Za’ba

                Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya teringat pada hari rabu yang lepas semasa dalam kuliah. Pensyarah ada menanyakan kami dengan satu soalan. Dan soalannya berbunyi apa makna simpulan bahasa ‘bagai aur dengan tebing’. Pensyarah tersebut bertanya apa makna ‘aur’. Ramai pelajar yang tidak tahu sebenarnya apa makan aur termaksuklah pelajar universiti sendiri.

                ‘Aur’ bermakna buluh. Perkataan ‘aur’ mungkin difahami oleh masyarakat Sabah dan Sarawak Kerana mereka memang menggunakan perkataan tersebut bagi nama buluh. Pemahaman terhadap sesuatu perkataan sebenarnya bergantung pada kekerapan penggunaan perkataan tersebut dalam kehidupan masyarakat.


Bicara Hatiku: Simpulan bahasa sebenarnya amat menarik untuk didalami maknanya kerana kebanyakan perumpamaan dan istilah-istilah dalam simpulan bahasa banyak menggunakan bahasa tradisional masyarakat lama.






Ceritera 25: Keunikan Nama Papan Tanda

Tarikh: 7 April 2013
Hari: Sabtu
Masa: 9.00 malam
Lokasi: Tumpat, Kelantan

                Assalamualaikum dan salam sejahtera buat sahabat sekalian. Seperti yang dapat dilihat pada tajuk, sudah cukup 25 buah cerita yang saya masukkan ke dalam blog ini. Pada hari ini merupakan diari terakhir saya untuk tugasan blog subjek sosiolinguistik ini. Namun, penulisan saya melalui blog tidak akan berakhir di sini.

                Kali ini saya ingin berkongsi mengenai keunikan papan tanda yang ada di sepanjang jalan raya. Terdetik di hari saya untuk menulis tentang ini kerana saya dapat lihat pelbagai nama-nama kampung yang agak pelik dan menarik sepanjang perjalanan pulang saya dari kolej ke kampung saya di Kelantan pada cuti pertengahan semester ini.

                 Antara nama jalan yang ingat ialah,  Banggol Beta, Tok Oh, Meranti, Kok Seraya dan banyak lagi. Kebiasaannya, masyarakat sekeliling sering mengaitkan nama kampung dengan sejarah tempat tersebut. Seperti kampung yang bernama Jong Bakar yang terdapat di Kelantan. Kampung tersebut mendapat nama berdasarkan satu peristiwa pada zaman dahulu di mana istilah ‘jong’ bermaksud kapal besar telah terbakar di kawasan tersebut. Dan berasal dari cerita tersebut maka terhasilah nama kampung Jong Bakar.

                Banyak lagi sebenarnya kisah menarik yang terdapat di sebalik nama-nama kampung yang terdapat di Malaysia ini dan sering diceritakan oleh masyarakat sekitar kampung tersebut berdasarkan sejarah kampung itu. Benar atau tidak cerita tersebut tidak dapat dipastikan. Semua terpulang kepada seseorang individu untuk mempercayainya ataupun tidak.

Bicara Hatiku: Nama kampung sering dikaitkan dengan kisah sejarah sesuatu kawasan tersebut dan tidak diketahui sejauh mana kebenarannya. Namun, perkara ini amat menarik untuk dikaji. Harap walaupun ini adalah coretan terakhir dari saya tetapi semoga bahasa Melayu terus berkembang ke seluruh dunia. Sekian.

No comments:

Post a Comment