Minggu 1

Ceritera 1: Bahasa Akhbar


Tarikh: 6 Mac 2012
Hari: Rabu
Masa: 11.00 Pagi
Lokasi: Bangunan E-Learning

                Assalamualaikum w.b.t. Sebagai tulisan pertama saya, suka sekali saya ingin mengulas mengenai penulisan dalam sesebuah akhbar. Kebanyakan sebenarnya tidak sedar mengenai kesalahan yang banyak dilakukan dalam penulisan akhbar. Terdapat juga sesetengah pihak yang sering ambil mudah mengenai perkara ini.

                Mungkin perkara ini merupakan isu biasa bagi masyarakat namun isu ini agak sensitif bagi golongan ahli bahasa. Seorang penulis akhbar seharusnya perlu ada kemahiran berbahasa yang baik kerana penulisan mereka akan dinilai oleh semua lapisan masyarakat. Mereka seharusnya lebih peka dengan bahasa yang digunakan.


Kesalahan perkataan seperti di atas juga tidak seharusnya berlaku.


                Masyarakat mungkin memandang tajuk seperti di atas adalah sebagai pelaris akhbar atau penulis itu sendiri yang berniat untuk menghangatkan lagi sesuatu isu. Namun, jika dianggap dari sudut bahasa sebenarnya mereka telah merosakkan bahasa Melayu itu sendiri.

Bicara hatiku: Terdetik di hati saya untuk menulis mengenai bahasa akhbar adalah disebabkan pada semester ini saya mengambil kursus kewartawanan di bawah pensyarah Encik Ghazali Din yang merupakan juga seorang penulis bebas. Beliau banyak memberi input yang berguna dalam menghasilkan sebuah berita dan laporan dalam akhbar. 




Ceritera 2: Antara Dua Budaya


Tarikh: 7 Mac 2013
Hari: Khamis
Masa: 11.20 Malam
Lokasi: Kolej Kediaman Za’ba

                Assalamualaikum, kali ini saya ingin mengemukakan satu topik yang agak menarik untuk dibincangkan. Seperti yang kita tahu, negara Malaysia dan Indonesia merupakan antara dua negara yang menggunakan bahasa percakapan yang sama. Jika dipandang dari sudut sejarah, dua negara ini merupakan negara yang banyak memberi sumbangan dalam memajukan dan membangunkan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat sehingga ke hari ini.

                Walaupun kita lahir dari rumpun bahasa yang sama, namun masih terdapat perbezaan perkataan dan makna bahasa di antara dua negara ini. Perkara yang paling menarik minat saya apabila saya mendengar cerita daripada salah seorang pensyarah saya mengenai isu perkataan ‘tandas’ di Malaysia dan Indonesia. Sukar untuk kita mencari perkataan tandas di negara Indonesia malah boleh dikatakan perkataan itu mungkin tidak ada pada papan tanda di negara itu. Tahukah anda apa panggilan ‘tandas’ dalam bahasa Indonesia? Mereka lebih mengenali tandas sebagai ‘kamar kecil’.  Mereka juga menggantikan perkataan atau istilah ‘lelaki’ kepada ‘pria’.

Ini adalah salah satu contoh perbezaan bahasa dalam masyarakat di dunia. Walaupun kita dari rumpun masyarakat yang sama, namun itu tidak bermakna bahasa yang digunakan oleh sesebuah masyarakat itu adalah sama.

                 
Bicara hatiku: Semakin banyak kita belajar bahasa semakin banyak perbezaan yang kita dapat kenal pasti bagi setiap bahasa. Jika hendak menunaikan hajat di Indonesia jangan lupa cari ‘kamar kecil’, bukan tandas.   





Ceritera 3: Simbol apa tu?


Tarikh: 7 Mac 2013
Hari: Khamis
Masa: 12.00 Malam
Lokasi: Kolej Kediaman Za’ba




Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua rakan-rakan alam maya saya. Tahukah anda simbol apa yang terdapat dalam gambar di atas? Mungkin masyarakat di Malaysia tidak biasa melihat simbol atau papan tanda di atas. Saya tertanya-tanya bagaimana seorang rakyat Malaysia hendak memandu kenderaan jika mereka berada di negara yang menggunakan simbol tersebut kerana di negara kita setahu saya tidak terdapat simbol seperti dalam gambar di atas.

Perbezaan penggunaan simbol dalam sesebuah masyarakat sebenarnya agak menyukarkan masyarakat lain untuk memahaminya.

Bicara hatiku: Gambar-gambar di atas saya jumpa ketika ‘meneroka’ di internet untuk bahan diari saya.  Masyarakat sepatutnya membuat suatu kesepakatan untuk menggunakan simbol yang sama di seluruh dunia barulah persefahaman itu wujud.





Ceritera 4: Adakah Dialek Kelantan adalah Bahasa Rojak?


Tarikh: 7 Mac 2013
Hari: Khamis
Masa: 12.15 Malam
Lokasi: Kolej Kediaman Za’ba

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan bahasa Kelantan adalah bahasa rojak. Bahasa rojak di sini bermaksud berlaku percampuran kod dalam penggunaan dialek Kelantan itu sendiri.

Contoh 1: “tolong slow gak sikit radio tu”.

Contoh 2: “ gi baco book nuh”.

Jika dilihat dari contoh percakapan di atas jelas sebenarnya orang Kelantan banyak mencampurkan penggunaan di antara bahasa dialek Kelantan dan bahasa Inggeris. Mungkin bagi sesetengah masyarakat luar Kelantan merasakan percakapan itu agak pelik namun sebenarnya perkataan sebegitu sering digunakan oleh masyarakat Kelantan malahan, golongan tua di kampung turut menggunakan percakapan sebegitu.

Namun, jika dilihat lebih teliti sebenarnya, percampuran kod itu berlaku adalah disebabkan amalan yang telah diamalkan sejak dari dahulu. Perkataan tersebut telah menjadi amalan percakapan orang Kelantan sehingga sekarang.

Bicara hatiku: Boleh dikatakan sebenarnya orang Kelantan agak maju ke depan kerana orang kampung yang tidak tahu membaca juga boleh menggunakan bahasa Inggeris walaupun bahasa yang digunakan tidak tepat.  





Ceritera 5: Saya Suka Baca Ujang

Tarikh: 8 Mac 2013
Hari: Jumaat
Masa: 5.40 petang
Lokasi: Kolej Za'ba

              Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat sahabat semua. Hari ini tak ada perkara yang istimewa yang hendak saya kongsikan. Cuma terdetik di hati saya ketika membaca sebuah majalah atau lebih dikenali sebagai komik Ujang. Rasanya semua rakyat Malaysia kenal dengan majalah Ujang atau Apo? keluaran syarikat MOY ni. Seperti semua orang tahu majalah atau komik sebegini kebiasaanya sentiasa menggunakan bahasa-bahasa yang mudah kita faham dan tulisan perkataannya yang singkat.

              Kadang kala kartunis sering memasukkan penggunaan bahasa dari pelbagai loghat atau dialek mengikut keinginan masing-masing. Jika dilihat dari sudut penggunaan bahasa tersebut memang mengandungi  pelbagai kesalahan seperti percampuran kod, kesalahan ejaan, kesalahan tatabahasa dan sebagainya. Namun sebenarnya dengan kesalahan-kesalahan yang disengajakan itulah yang menyebabkan komik tersebut mendapat sambutan dalam kalangan pembaca dan pengemar komik.

               Selain itu, komik yang ditukar bahasa juga kadang kala kita boleh lihat kesalahan-kesalahan jelas semasa mereka menukar bahasa. Bahasa yang diggunakan seperti telah ditukar oleh orang yang kurang mahir dalam bahasa Melayu menyebabkan maksud dari bahasa asal komik tersebut tidak sampai kepada pembaca. Contoh komik yang biasa dialih bahasakan ialah komik Doremon, Pokemon, Naruto dan sebagainya. Komik-komik tersebut banyak ditukar bahasa kerana ramai pengemarnya di Malaysia.



Bicara hatiku: Walaupun banyak kesalahan bahasa saya tetap suka baca majalah Ujang. Komik merupakan salah satu penghibur hati saya di kala kepala sedang sarat dengan bebanan dan tekanan. Selamat membaca. 

No comments:

Post a Comment