Minggu 3


Ceritera 11: Sehari Bersama Keluarga KEFB

Tarikh: 17 Mac 2013
Hari: Ahad
Masa: 10.00 pagi
Lokasi: B.E-Learning Aras 5

                Assalamualaikum dan selamat sejahtera sekali lagi saya ucapkan. Pada hari ahad yang indah ini ketika semua orang sedang tidur saya dan rakan-rakan telah mengikuti satu program yang telah dianjurkan oleh Kelab Fasilitator Bitara UPSI. Program Training Of Trainer atau lebih dikenali sebagai TOT telah dijalankan di bangunan e-learning. Walaupun ramai yang tidak hadir namun program tetap diteruskan.

                Kebiasaan TOT pengisiannya adalah berkaitan dengan Latihan Dalam Kumpulan atau ringkasnya LDK. Program ini melibatkan program-program bersifat motivasi dan kepimpinan di sekolah-sekolah bitara sekitar UPSI dan luar UPSI. Perkara yang saya ingin kongsikan di sini bukahlah mengenai program KEFB tetapi adalah mengenai penggunaan istilah dalam percakapan.

                Kebiasaannya dalam setiap program kita akan ada sesi ‘ice breaking’, apa yang menarik di sini apabila perkataan tersebut telah ditukar ke dalam bahasa Melayu oleh seorang teman menjadi ‘merapatkan ketidakkenalan’. Satu lagi istilah baru yang saya belajar pada hari tersebut ialah ‘kefamilian’. Walaupun perkataan tu salah tapi saya faham apa yang hendak disampaikan oleh penyampainya itu. Jelas sebenarnya masyarakat kita suka menggunakan bahasa campuran sebab mereka tahu walaupun penggunaan bahasa tu salah tapi orang lain masih boleh faham. Jadi, perkara ni menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita. Di bawah ni sedikit perkongsian gambar sepanjang program pada hari tu. Selamat berhibur.




Bicara Hatiku: Walaupun orang lain bertemankan tilam dan bantal pada hari ahad tapi kami suka join program. Sebab melalui program sebeginilah kita banyak belajar mengenai bahasa dan ragam manusia sekeliling sebab apa yang ada depan mata kita itu adalah suatu pembelajaran. Tak susah pun nak guna bahasa dengan betul sebenarnya.
               






Ceritera 12: Sepagi di Sekolah Syed Mashor

Tarikh: 19 Mac 2013
Hari: Selasa
Masa: 11.00 pagi
Lokasi: Sekolah Syed Mashor, Batang Kali

                Assalamualaikum sahabat semua. Ingat lagi tak cerita saya mengenai lawatan ke Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor? Sebenarnya tujuan lawatan tersebut adalah untuk mendapatkan kelulusan bagi menjalankan kajian di sebuah sekolah. Jadi, hari ini buat pertama kalinya saya dan rakan-rakan pergi ke sebuah sekolah untuk membuat kerja lapangan tersebut yang perlu dilakukan oleh bakal-bakal guru macam kami ni INSHA ALLAH.

                ‘Highlight’ saya dalam cerita kali ini adalah ketika saya dan rakan-rakan di bawa ke salah satu kelas pelajar tingkatan 1. Kami dibenarkan untuk membuat pemerhatian mengenai pengurusan murid dalam bilik darjah tersebut oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah tersebut. Secara kebetulan, guru tersebut mengajar subjek bahasa Melayu dan pada hari tersebut guru itu mengedarkan keputusan peperiksaan Mac.

                Saya tertarik dengan kesalahan-kesalahan tatabahasa yang dilakukan oleh pelajar-pelajar tersebut. Antara binaan ayat yang dilakukan oleh mereka adalah seperti berikut:

‘… Ali mengayak sampan..’
‘…Ayam sedang memeram telur…’
‘…Ibu memerap baju untuk disidai…’

                Kami yang mendengar ayat-ayat tersebut rasa agak lucu sebenarnya. Mungkin antara faktor kesalahan tersebut kerana mereka masih baru belajar dan memandangkan kelas tersebut merupakan pelajar kelas akhir, penguasaan mereka terhadap bahasa masih kurang. Di sini saya sediakan suasana pembelajaran dalam bilik darjah tersebut. Saksikan.



Bicara Hatiku: Walaupun hanya separuh hari saya dan rakan-rakan berada di sekolah itu, kami dah dapat rasa macam mana beratnya tugas sebagai seorang guru nak kawal tingkah laku pelajar apabila tengok macam-macam ragam budak-budak sekolah. Harap kajian ini dapat bantu kami untuk sediakan diri bagi menghadapi sekolah apabila kami dah ‘posting’ nanti.




Ceritera 13: Bengkel Protokol

Tarikh: 24 Mac 2013
Hari: Ahad
Masa: 8.30 pagi
Lokasi: Dewan Kolej Ungku Omar

                Assalamualaikum w.b.t. Pada Ahad yang lepas saya telah menyertai satu bengkel protokol anjuran Kelab Fasilitator. Pengisian untuk diari saya kali ini adalah melibatkan sesuatu yang berkaitan dengan protokol. Kalau di sebut protokol orang selalu memandang protokol itu suatu yang amat melecehkan. Secara jujurnya saya amat bersetuju protokol adalah perkara yang amat melecehkan.

                Antara pengisian program tersebut, kami diajar mengenai protokol di meja makan, protokol menyediakan surat rasmi, dan protokol teks emcee. Contohnya teks emcee, teks emcee amat penting dalam sesuatu majlis untuk memastikan perjalanan majlis dalam keadaan lancar dan bahasa yang digunakan  dalam teks emcee juga adalah bahasa standard bagi majlis yang rasmi.

 Gaya penyampaian bahasa dan nada suara juga amat dititikberatkan terutama dalam majlis yang melibatkan protokol yang lebih tinggi. Hal ini demikian kerana kebiasaanya audiens dalam majlis rasmi banyak melibatkan orang-orang ternama dan berpendidikan. Kadang kala pantun juga dimasukkan ke dalam teks emcee bagi mencantikkan lagi bahasa dan menarik minat audiens. Contoh ayat teks rasmi adalah seperti berikut:

‘Mohon perhatian,

Bagi memastikan majlis kita berjalan dengan lancar, hadirin diingatkan agar mematikan penggunaan telefon bimbit atau menukar kepada pengaturcaraan senyap. Apabila diumumkan ketibaan Yang Berusaha….., diiringi dif-dif kehormat masuk ke dewan, hadirin diminta berdiri, kerjasama hadirin amat dihargai.
Melayang serindit di atas permatang,
Merbah berkicau di hujung muara,
Pemanis kata selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.



Bicara hatiku: Teks emcee di atas hanyalah sebahagian sahaja. Saya agak tertanya-tanya adakah sama di antara teks emcee UPSI dengan teks emcee universiti lain. Maklumlah, protokol katakan, jadi ayat harus puitis dan mematuhi aspek tatabahasa.



Ceritera 14: ‘ Post Mortem’

Tarikh: 25 Mac 2013
Hari: Isnin
Masa: 9.00 malam
Lokasi: Bitarasiswa, Kampus

                Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua sahabat maya sekalian. Seperti biasa setiap minggu saya akan ‘update’ cerita atau boleh dikatakan sebagai diari harian saya di sini. Memandangkan program dan aktiviti semester ini amat sibuk jadi banyak juga bahan-bahan yang saya dapat ambil untuk dijadikan isu dalam diari maya saya.

                Kali ini saya nak cerita sedikit situasi dalam keadaan ‘post mortem’. Saya rasa boleh dikatakan setiap pelajar universiti tahu apa itu ’post mortem’. Biasanya sesudah tamat sesuatu program, ‘post mortem’ diadakan bagi melihat kembali sejauh mana keberkesanan sesuatu program, masalah yang timbul dan cadangan penambahbaikan untuk masa-masa akan datang.

                Malam Isnin yang lalu kami ahli kelab Fasilitator telah mengadakan ‘post mortem’ bagi program Bengkel Protokol yang telah berlangsung pada hari Ahad lepas. Antara cebisan dialog atau lebih mudah laporan ahli jawatankuasa yang terlibat seperti berikut:

‘..terdapat beberapa masalah yang berlaku tapi sempat dicover kelemahan tersebut. Sepatutnya kita ada briefing vip untuk majlis penutup begitu juga flow manager tapi tak jadi..’

                Tiada perkara yang menarik pun dalam dialog ini tapi perkara yang saya nak tekankan, kita banyak menggunakan istilah-istilah bahasa Inggeris dalam penggunaan sesuatu ujaran, kenapa kita tidak wujudkan dan biasakan lidah kita untuk menyebut ungkapan-ungkapan dalam bahasa Melayu kerana kita juga adalah istilah kita sendiri.

Bicara hatiku: Bak kata Dr. Siti Saniah, ‘cinta tidak bermakna benci’. Kita perlu cinta kan bahasa kita namun tidak semestinya kita cinta akan bahasa kita tetapi kita bencikan bahasa lain. Cuma cantikkan dahulu bahasa ibunda kita.
  





Ceritera 15: Panggilan Kehormat

Tarikh: 26 Mac 2013
Hari: Selasa
Masa: 9.00 malam
Lokasi: Kampus Sultan Abdul Jalil

                Assalamualaikum dan salam satu bahasa. Hari ini sedikit ketandusan idea berlaku melanda diri saya untuk menulis diari. Namun saya tetap akan berkongsi sedikit pandangan dan pendapat mengenai bahasa. Saya teringatkan topik yang diajar semasa di dalam bilik kuliah pada minggu lepas mengenai gelaran. Memandangkan sebagai seorang pelajar universiti sebenarnya kita selalu terdengar panggilan doktor, profesor, dan profesor madya.

                Sesetengah orang amat mementingkan gelaran tersebut kerana mereka menganggap panggilan tersebut diperoleh atas titik peluh dan usaha mereka sendiri untuk mendapatkan gelaran tersebut. Sama juga gelaran seperti Datuk, Datin, Tan Sri dan sebagainya.

                Gelaran sebenarnya mengangkat darjat seseorang individu. Namun, bagi sesetengah pihak gelaran hanyalah pada nama sahaja. Terpulang pada setiap individu.

Bicara Hatiku: Gelaran yang paling saya inginkan ialah Dr. Hajah Norhashida. Insha ALLAH suatu hari nanti impian saya akan tercapai.   

No comments:

Post a Comment